BERITA

Dilema sokongan bersyarat Belanjawan 2021

Finance Minister Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tabling the 2021 Budget at the Parliament today.

Oleh Syed Azwan Syed Ali

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Apabila ada pihak-pihak yang meletakkan syarat untuk menyokong Belanjawan 2021, rasa bimbang mulai timbul, sama ada belanjawan itu perlu diluluskan atau tidak, bagi mengelakkan risiko lebih besar kepada ekonomi rakyat dan negara dalam berdepan cabaran pandemik COVID-19.

Isu sokongan bersyarat berbangkit apabila Barisan Nasional (BN) dan blok pembangkang mengemukakan dua cadangan utama iaitu membenarkan pengeluaran simpanan ‘one-off’ secara sekali gus daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelanjutan moratorium pinjaman institusi kewangan, selain mempertikai cadangan mengembalikan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dengan peruntukan besar.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata mengemukakan cadangan dalam perbahasan rang undang-undang perbekalan adalah perkara biasa sebelum belanjawan negara diluluskan.

Beliau yakin cadangan pihak berkenaan akan dipertimbangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil kira maklum balas, khususnya daripada pihak yang terbabit secara langsung seperti bank dan KWSP.

“Saya kira perbahasan ini adalah normal… (merujuk kepada cadangan pengeluaran KWSP dan moratorium) sama ada diluluskan secara ‘sekali gus’, atau berperingkat, atau dilanjutkan, kerajaan perlu mengambil kira pandangan pihak terbabit dan melihat kesan kepada ekonomi.

“Saya tidak nampak cadangan ini akan ditolak dalam kedudukan kerajaan sekarang kerana risiko lebih besar jika belanjawan itu tidak lulus. Kalau tidak terima semua, kerajaan boleh terima sebahagiannya,” katanya kepada Bernama.

Dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang menyaksikan peruntukan terbesar dalam sejarah negara iaitu mencecah RM322.5 bilion awal minggu ini, blok kerajaan melalui pembahas utamanya Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) mengemukakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021.

Sokongan bersyarat yang dilihat popular dalam kalangan rakyat itu meliputi tuntutan membenarkan pengeluaran ‘one-off’ sehingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP dan pelanjutan moratorium selama enam bulan sehingga Jun 2021.

Melalui Belanjawan 2021, kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan KWSP daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan bermula Januari depan, dan dianggarkan 600,000 pencarum KWSP yang terjejas akibat COVID-19, khususnya mereka yang hilang pekerjaan, akan mendapat faedah dengan jumlah pengeluaran simpanan mencecah RM4 bilion.

Bagaimanapun, ada pihak melihat pengeluaran simpanan RM500 sebulan itu tidak mencukupi bagi menampung keperluan kelompok terjejas, malah tidak memberi impak signifikan buat mereka yang hilang pekerjaaan untuk memulakan hidup baru.

Perkara sama turut disuarakan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta kerajaan menimbang semula jumlah RM500 pengeluaran KWSP kerana disifatkan tidak munasabah bagi golongan B40 selain turut meminta kerajaan menumpukan kepada pelanjutan moratorium.

Menegaskan jumlah Kumpulan Wang COVID-19 hanya mewakili 5.3 peratus daripada keseluruhan RM322.5 bilion peruntukan Belanjawan 2021, Anwar berkata wakil rakyat pembangkang hanya akan menyokong belanjawan kerajaan jika ia benar-benar ‘belanjawan untuk membantu rakyat menghadapi pandemik COVID-19’.

Sepanjang perbahasan Belanjawan 2021 minggu ini, ahli-ahli Parlimen dari blok kerajaan dan pembangkang juga dilihat senada dalam isu pelanjutan moratorium yang bertujuan meringankan beban rakyat terjejas akibat COVID-19.

Penangguhan moratorium secara automatik untuk tiga hingga enam bulan bagi mereka yang mempunyai pinjaman RM500,000 dan ke bawah turut disuarakan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) yang turut disokong ahli parlimen dari blok pembangkang.

Merujuk kepada sokongan bersyarat Belanjawan 2021, pakar ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff bersetuju dengan cadangan pelanjutan moratorium sehingga Jun 2021 berdasarkan keupayaan institusi kewangan tempatan.

“Pelanjutan moratorium itu tidak harus terhad kepada kelompok B40 dan (PKS) mikro sebaliknya perlu diperluaskan kepada kelompok PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dan juga golongan M40 yang terjejas,” katanya menjelaskan masih ramai usahawan PKS, khususnya dalam bidang hospitaliti dan pelancongan yang terjejas.

Beliau bagaimanapun kurang bersetuju dengan cadangan pengeluaran KWSP secara sekali gus kerana bimbang mengenai risiko pengurusan kewangan pihak terbabit (pihak yang mengeluarkan simpanan KWSP).

“Tetapi saya bersetuju jumlah pengeluaran bulanan (simpanan KWSP) itu ditambah. Jika boleh luaskan kepada 4.3 juta individu yang sebelum ini memohon i-Lestari,” kata Razman sambil menegaskan pengeluaran KWSP dan pelanjutan moratorium seharusnya dilakukan secara serentak untuk meningkatkan ‘disposable income’ bulanan kelompok terjejas.

Mengulas mengenai tuntutan supaya kerajaan menimbang semula cadangan penubuhan semula JASA dengan peruntukan RM85.5 juta di bawah Belanjawan 2021, kedua-dua penganalisis meminta kerajaan mengkaji cadangan itu dengan teliti.

“Kerajaan kena kaji betul-betul tuntutan itu. Kena yakinkan dan jelaskan kepada semua pihak, apakah fungsi jabatan itu dan mungkin perlu kurangkan jumlah peruntukan (RM85.5 juta) yang agak tinggi dalam konteks sekarang,” kata Razman merujuk kepada situasi ekonomi dunia terjejas akibat COVID-19.

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel