BERITA

Rakyat Sarawak anggap Belanjawan 2021 pacu pemulihan ekonomi



Oleh Hamdan Ismail

KUCHING, 18 Nov -- Walaupun rakyat Sarawak secara umumnya tidak menjangkakan peruntukan yang besar untuk negeri itu di bawah Belanjawan 2021 berikutan keadaan ekonomi semasa yang dihadapi negara, namun ia adalah satu kelegaan bagi mereka dalam usaha memulihkan kembali ekonomi.

Presiden Persatuan Anaq Vaie Bintulu, Pandi Suhaili, 63, berkata ia masih belanjawan yang meyakinkan yang dilihatnya akan dapat memacu ekonomi domestik dalam tempoh setahun akan datang, yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak Mac tahun ini.

“Dengan pelbagai bantuan yang diumumkan bagi golongan B40, belanjawan ini akan membantu meningkatkan kuasa perbelanjaan rakyat semasa menghadapi tempoh sukar ini dan membolehkan ekonomi kita digerakkan kembali,” katanya kepada Bernama. 

Walaupun tumpuan lebih besar diberi ke arah menangani penularan pandemik COVID-19, beliau berkata belanjawan itu juga turut memfokuskan masalah sekolah usang di Sarawak, satu daripada keperluan mendesak di negeri ini.

“Saya gembira kerana sekurang-kurangnya peruntukan tambahan sebanyak RM725 juta disalurkan untuk membaik pulih sekolah daif di Sabah dan Sarawak pada tahun depan, sesuatu yang tidak banyak diberi perhatian oleh Kerajaan Persekutuan yang lalu,” kata Pandi.

Ahli Dewan Undangan Negeri Batu (ADUN) Danau Paulus Palu Gumbang berkata rancangan Kerajaan Persekutuan untuk memperluas perkhidmatan bank bergerak amat diperlukan di kawasan luar bandar yang diwakilinya.

Beliau berkata perkhidmatan sedemikian masih belum ada di kawasannya dan situasi itu menyebabkan penduduk sejauh Batu Danau terpaksa melakukan perjalanan selama beberapa jam untuk tiba di pekan Limbang, di utara Sarawak, untuk menjalankan urus niaga perbankan mereka.

“Mereka yang tinggal di Long Napir (kawasan pedalaman di daerah Limbang) terpaksa meredah perjalanan kira-kira empat jam melalui jalan balak untuk tiba ke bank terdekat, manakala penduduk dari Pa’ Adang pula terpaksa mengharung lebih satu jam lagi, untuk tiba di bandar,” katanya. 

Dalam usaha Persekutuan untuk menjadikan internet sebagai utiliti ketiga, beliau berkata penyedia perkhidmatan perlu memikirkan keuntungan yang mereka peroleh sebagai sekunder sekarang tetapi berkhidmat untuk rakyat adalah satu keutamaan seperti di kawasan pilihan rayanya.

“Kerajaan negeri telah membina lebih banyak menara komunikasi untuk memudahkan penyedia perkhidmatan dan dengan Kerajaan Persekutuan memberi penekanan untuk memperluas perkhidmatan ini dalam Belanjawan 2021, ia terserah kepada penyedia perkhidmatan untuk menetapkan keutamaan mereka,” katanya.

Sementara itu ADUN Semop, Abdullah Saidol berkata beliau lega kerana terdapat peruntukan pembangunan sebanyak RM4.5 bilion untuk Sarawak di bawah Belanjawan 2021 yang tepat pada masanya untuk terus merangsang pertumbuhan di kawasan luar bandar, negeri itu.

Beliau berkata peruntukan itu perlu diuruskan dengan cekap dan telus bagi memastikan ia disalurkan dalam projek yang dapat memenuhi objektif yang disasarkan dan memberi manfaat maksimum kepada rakyat.

“Saya faham banyak perbelanjaan yang dibentangkan dalam belanjawan tahun depan, akan disalurkan untuk tujuan operasi kerana usaha memerangi pandemik COVID-19 perlu diteruskan,” katanya.

Menurut beliau semangat di sebalik pembentangan belanjawan itu bertujuan untuk menjaga keselamatan semua rakyat Malaysia dalam mengharungi keadaan mencabar ini dan mengetepikan segala perbezaan dalam usaha menggerakkan semula ekonomi negara. 

“Dalam situasi seperti ini, kesejahteraan semua mesti menjadi keutamaan. Cukup-cukuplah berpolitik, dan beri tumpuan untuk memberi yang terbaik kepada rakyat jadi mereka dapat atasi pandemik ini dan terus maju,” katanya.

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel