BERITA

Belanjawan 2021: KKR fokus infrastruktur awam, mangkin ekonomi

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Kementerian Kerja Raya (KKR) akan memberi fokus terhadap pelaksanaan projek pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam tahun depan, yang disifatkan sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pelaksanaan projek awam itu dilihat mampu memberi kesan ekonomi berganda kepada pelbagai sektor ekonomi negara sekali gus memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

"Apabila sesuatu projek itu dibangunkan, ia bukan sahaja memberi peluang ekonomi kepada kontraktor projek tetapi lebih daripada itu.

“Ia kerana banyak pihak terlibat dalam satu-satu projek itu, bukan sahaja kontraktor tetapi juga arkitek, pembekal peralatan, pembekal mesin, bank, peguam dan pelbagai lagi " katanya dalam wawacara bersama media mengenai Belanjawan 2021 di Kompleks KKR di sini hari ini.

Beliau berkata impak ekonomi berganda bukan sahaja boleh dilihat dalam projek berkeutamaan tinggi sebaliknya turut melibatkan projek berskala kecil yang membabitkan kumpulan kontraktor G1 sehingga G4.

Projek berskala kecil itu, kata beliau, akan merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di saat pelbagai pihak terjejas akibat pandemik COVID-19.

"Dengan peruntukan yang diberi kepada kementerian, kita tidak hanya bertumpu dalam pelaksanaan projek-projek besar seperti Mass Rapid Transit Line (MRT) dan Pan Borneo.

“Tetapi juga dalam projek kecil supaya projek ini dapat berjalan yang akhirnya merancakkan ekonomi di peringkat akar umbi," katanya.

Mengulas lanjut, Fadillah berkata kementeriannya juga akan memperuntukkan RM3.8 bilion bagi tujuh projek baharu di seluruh negara menerusi Belanjawan 2021.

Antara projek tersebut ialah projek pembinaan Jambatan Klang Ke-3, Central Spine Road (CSR), menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang serta menaik taraf Lebuh raya Pulau Indah.

"Sebanyak RM620 juta turut diperuntukkan kepada KKR bagi menyelenggara dan membina jalan-jalan baharu.

“Daripada jumlah itu sebanyak RM420 juta akan diperuntukkan di bawah konsesi (jalan persekutuan) manakala RM200 juta lagi khusus untuk perniagaan kontraktor G1 hingga G4, " katanya.

Fadillah berkata pihaknya juga akan mengambil pendekatan mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing dalam industri pembinaan bagi memberi peluang rakyat tempatan mengisi kekosongan pekerjaan dalam industri berkenaan.

Sehubungan itu, KKR akan bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia bagi melatih rakyat tempatan untuk diserapkan dalam industri pembinaan sebagai pekerja mahir dan separa mahir.

"... dan mana-mana individu yang telah diberhentikan kerja akibat COVID-19, dan berminat untuk bekerja di industri pembinaan amatlah digalakkan.

Mereka ini boleh mendaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan akan diberi latihan supaya mereka dapat menggunakan kemahiran itu dalam industri ini, " katanya.

Sementara itu, Fadillah memaklumkan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Pan Borneo Sarawak, masing-masing mencatatkan kemajuan terkini sebanyak 34 dan 53 peratus.

Beliau berkata Pan Borneo Sarawak dijangka siap sepenuhnya pada 2022 seperti yang dijadualkan manakala Pan Borneo Sabah pula mengalami sedikit kelewatan.

"Pan Borneo Sabah kita jangka siap pada 2023 dan bukan 2022. Ia agak lewat disebabkan beberapa faktor termasuk akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana COVID-19 dan juga pertukaran pengambilalihan projek itu semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH), " katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lepas, KKR secara keseluruhan menerima peruntukan kira-kira RM7.3 bilion, membabitkan perbelanjaan mengurus berjumlah RM1.26 bilion dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM6.09 bilion.

Peruntukan itu turut merangkumi perbelanjaan untuk meneruskan projek infrastruktur berskala besar, pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya.

-- BERNAMA

 

TAG: KKR, Fadillah, pembinaan, infrastuktur, Belanjawan 2021





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel