BERITA

Belanjawan 2021 penting untuk kemahiran pekerja, industri penerbangan



Oleh Nurhafizah Tan

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 penting bagi meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pekerja industri penerbangan negara, yang terkesan akibat pandemik COVID-19, selain mengoptimumkan semula industri penerbangan negara.

Pakar penerbangan Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berkata syarikat penerbangan, yang menjadi antara sektor ekonomi paling terkesan akibat wabak itu, dijangka mengalami kerugian lebih besar dan seterusnya gulung tikar, jika tiada langkah proaktif diambil bagi membantu industri penerbangan. 

Beliau berkata sekiranya Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Dewan Rakyat tidak diluluskan, ia akan memberi kesan kepada perkembangan ekonomi termasuk sektor pelancongan, sekali gus membantutkan segala cadangan dan langkah pemulihan kesan pandemik COVID-19.

"Sekarang pun kita sudah lihat bagaimana kosongnya pusat membeli-belah, hotel dan pusat pelancongan akibat kekurangan atau ketiadaan pengunjung. Sudah tentu apabila kurang atau tiadanya daya tarikan atau peluang perniagaan, maka kerugian syarikat penerbangan akan bertambah besar,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, media melaporkan mengenai kemungkinan Belanjawan 2021 tidak diluluskan selepas beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang menyatakan sokongan bersyarat kepada Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional pada 6 Nov.

Dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang menyaksikan peruntukan terbesar dalam sejarah negara iaitu RM322.5 bilion, beberapa Ahli Parlimen mengemukakan pandangan agar syarat-syarat pengeluaran caruman Akaun 1 KWSP dilonggarkan dan moratorium pinjaman bank dilanjutkan bagi membantu rakyat yang terkesan akibat penularan COVID-19.

Ketika membentangkan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz antara lain mengumumkan penyediaan program latihan dan penempatan semula bagi 8,000 kakitangan syarikat penerbangan di Malaysia dengan peruntukan RM50 juta.

Abdul Rahmat Omar berkata peruntukan untuk melatih dan menempatkan semula 8,000 kakitangan syarikat penerbangan yang kehilangan pekerjaan mampu mengatasi masalah pengangguran, sekali gus memberi ruang kepada mereka terlibat dalam sektor lain.

Mereka bagaimanapun, kata beliau, boleh menyertai semula bidang penerbangan apabila ekonomi sudah beransur pulih.  

"Cadangan ini sama seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang pernah diadakan untuk para siswazah menganggur. Berdasarkan perangkaan, terdapat 2.1 peratus daripada keseluruhan pekerjaan di sektor swasta masih belum diisi, bermakna terdapat 179,000 kekosongan jawatan," katanya. 

Sementara itu, bekas pramugara Mohamad Aizamuddin Zakry, 33, yang hilang pekerjaan sejak Jun,  berpendapat sekiranya belanjawan itu tidak diluluskan, ia akan menambahkan beban dan tekanan kepada kakitangan syarikat penerbangan yang terjejas. 

"Kebanyakan yang terkesan ini sudah berkeluarga dan mempunyai komitmen, macam saya sendiri sudah tidak bergaji sejak Mac, kalau ada simpanan banyak mana pun tentu akan habis juga kalau menganggur lebih lama lagi. Bukannya tidak mencari tetapi peluang pekerjaan langsung tiada," katanya.

Turut senada, bekas pramugara Md Arif Kasim, 36, yang berpandangan peruntukan itu penting bagi memberi sokongan kepada kakitangan syarikat penerbangan terjejas untuk menambah kemahiran sekali gus memberi nilai tambah dalam bidang pekerjaan lain. 

"Peluang pekerjaan sangat terhad terutama jika dalam bidang tidak berkaitan yang memerlukan pengalaman dan kemahiran, kami juga boleh memanfaatkan pengalaman bekerja kami, insyaAllah saya yakin kami mampu menyesuaikan diri dan belajar dengan cepat," katanya. 

 Bekas juruterbang, Kapten Azrin Mohamad Zawawi, 44, berpendapat kemahiran seperti kursus pelaburan hartanah dan keusahawanan antara yang boleh menjadi pemangkin untuk golongan terjejas itu membina kehidupan dan kerjaya baharu. 

"Mereka ini mungkin ada yang minat dan semangat untuk menceburi pekerjaan lain tetapi perlulah dibantu dan diberi sokongan, misalnya kalau berniaga, tidak semua punya bakat dan minat dalam perniagaan tetapi mungkin boleh cuba bidang lain yang lebih sesuai," katanya. 

-- BERNAMA

 





BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel