BERITA

Belanjawan 2021: Suntikan RM400 juta perkasa program COSS - Nanta



KUALA LUMPUR, 25 Nov -- Program Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS) yang menerima suntikan RM400 juta dalam Belanjawan 2021 dijangka memberi impak kepada golongan sasar di bawah kategori B40, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata COSS berupaya meminimumkan impak kenaikan harga minyak sawit mentah ke atas harga minyak masak, menstabilkan harga runcit minyak masak bersubsidi untuk kegunaan isi rumah tempatan dan memastikan bekalan mencukupi di pasaran.

“Sejak COSS diambil alih Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 1 Nov 2016, COSS memberi manfaat kepada 33.2 juta rakyat yang menerima bekalan minyak masak bersubsidi pada kadar anggaran 2.5 kilogram per kapita sebulan.

“COSS juga mampu menjamin harga minyak masak yang stabil di pasaran domestik dengan mengurangkan impak daripada turun naik harga minyak sawit mentah di pasaran dunia,” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif-Belanjawan KPDNHEP 2021: Impak Kepada Ekonomi Dan Rakyat yang disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) malam tadi.

Memperincikan perkara itu, Nanta berkata secara keseluruhan kementeriannya menerima RM680 juta dalam Belanjawan 2021 khusus bagi menangani isu peningkatan kos sara hidup rakyat.

Justeru katanya, KPDNHEP akan memperkasa usaha dengan melaksanakan tiga program subsidi bersasar selain program penyeragaman harga yang diyakini mampu memberi kesan cukup signifikan terhadap usaha mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Turut dilaksanakan adalah Program Pengedaran Barang Perlu, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan Community Drumming, Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan serta Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am,” kata Nanta.

Menurut beliau, semua program yang dirancang adalah demi kepentingan rakyat dengan memberi fokus utama membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutama golongan yang terjejas akibat penularan pandemik COVID-19.

“Ini menjadi keutamaan bagi KPDNHEP malah kami (KPDNHEP) yakin semua inisiatif itu mampu memberi kesan signifikan kepada usaha mensejahterakan kehidupan rakyat," katanya.

Berkongsi pendekatan lain, Nanta berkata KPDNHEP juga melaksanakan tindakan penguatkuasaan dengan kerjasama Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi melindungi proses persaingan demi kepentingan perniagaan, pengguna dan ekonomi melalui Akta Persaingan 2010.

Selain itu, Nanta berkata KPDNHEP turut aktif dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

-- BERNAMA

 




BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel