BERITA

Belanjawan 2021: Sokongan bukti kematangan Ahli Parlimen - Muhyiddin



KUALA LUMPUR, 26 Nov -- Sokongan kepada Belanjawan 2021 sehingga diluluskan di peringkat dasar hari ini membuktikan kematangan ahli Parlimen dalam membuat keputusan penting dengan meletakkan kebajikan, keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat sebagai  keutamaan, mendahului perkara-perkara lain, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri  berkata sokongan terhadap belanjawan terbesar dan sangat penting kepada negara itu membolehkan kerajaan melaksanakan segala perancangan perbelanjaan untuk tahun depan dengan teratur dan lancar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Belanjawan 2021 telahpun diluluskan Dewan Rakyat hari ini. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua ahli Parlimen, terutamanya ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selepas dua minggu dibahas dan melalui empat hari proses penggulungan oleh setiap kementerian, Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar hari ini.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan suara majoriti selepas permohonan beberapa ahli Parlimen untuk undi belah bahagian tidak berjaya apabila hanya 13 ahli Parlimen yang bangun, kurang daripada jumlah diperlukan iaitu 15 orang.

Belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) berkenaan dibentang Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 6 Nov dan seramai 82 ahli Parlimen terlibat dalam sesi perbahasan.

Peruntukan mencecah RM322.5 bilion dicadangkan di bawah belanjawan itu, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah negara, bagi membantu kerajaan mendepani pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap kehidupan rakyat dan ekonomi negara.

Muhyiddin berkata pendirian ahli Parlimen berkenaan membuktikan mereka menjunjung tinggi titah Yang di-Pertuan Agong  Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahukan ahli politik mengetepikan sementara politiking agar belanjawan diluluskan tanpa gangguan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara sedang bergelut dengan COVID-19. 

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Tengku Zafrul dan Kementerian Kewangan yang bertungkus-lumus menyiapkan penggulungan Belanjawan 2021 dengan beberapa penambahbaikan demi kebajikan dan kesejahteraan rakyat.  

“Penambahbaikan ini telah mengambil kira pandangan daripada pelbagai pihak termasuk ahli-ahli Parlimen yang mengambil bahagian ketika perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 ini dijalankan,” katanya.

Tegasnya kerajaan PN sentiasa bersikap terbuka dalam menerima sebarang pandangan, teguran dan kritikan. 

Katanya ini membuktikan kerajaan PN amat prihatin mendengar keluh-kesah rakyat dan responsif terhadap pandangan pelbagai pihak dalam membantu memulih serta menjana semula  ekonomi negara yang terkesan teruk oleh pandemik COVID-19.  

“Semoga Belanjawan 2021 ini akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk mensejahterakan kehidupan rakyat dan negara,” kata perdana menteri. 

-- BERNAMA

 




BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel