BERITA

Belanjawan 2021 diluluskan beri prospek baik kepada pemulihan ekonomi

Tan Sri Dr Kamal Salih, Malaysian Institute of Economic Research chairman

Oleh Niam Seet Wei & Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 26 Nov -- Kelulusan Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion selepas melalui perdebatan yang hangat daripada parti blok kerajaan dan pembangkang dapat menyuntik keyakinan selain bertepatan dengan usaha negara ke arah pemulihan ekonomi berikutan cabaran akibat pandemik COVID-19.

“Ia akan dapat memberi keyakinan bukan hanya dalam kalangan pelabur domestik tetapi juga pelabur asing,” kata Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Tan Sri Dr Kamal Salih.

Kelulusan itu amat penting dalam memastikan pertumbuhan negara yang dilihat pulih daripada penguncupan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang rendah sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini kepada -2.7 peratus pada suku ketiga 2020, katanya kepada Bernama.

Terdahulu, Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Belanjawan, yang pertama dibentang di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Bagaimanapun, katanya ia akan menjadi tugas berat untuk memastikan perubahan yang besar dalam kadar pertumbuhan.

Beliau berkata dalam memastikan perubahan yang besar sebanyak 11.5 peratus daripada -5.5 peratus diunjurkan pada 2020 kepada 6.0 peratus unjuran oleh MIER, kerajaan perlu mengambil langkah-langkah tambahan selain daripada inisiatif yang digariskan dalam belanjawan.

Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan kadar pertumbuhan sebanyak 6.5 hingga 7.5 peratus pada 2021.

Beliau berkata MIER telah menggesa kepada lebih banyak pelaburan baharu atau suntikan baharu dalam bentuk wang atau dana untuk membiayai projek infrastruktur yang akan memberi kesan berganda kepada negara dan ekonomi.

Katanya ini termasuk membina lebih banyak rumah mampu milik yang akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana pendapatan boleh guna yang lebih baik untuk orang ramai supaya mereka dapat berbelanja lebih.

“Kerajaan juga perlu memberi tumpuan kepada isu-isu seperti kenaikan harga makanan dan keselamatan makanan, selain isu berkaitan teknologi yang berkait rapat dengan pelaburan asing,” katanya.

Kamal berkata beliau yakin kelulusan Belanjawan 2021 akan memberi laluan kepada Malaysia untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi seperti yang digariskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), tetapi dengan syarat kerajaan melaksanakan pembaharuan struktur dan langkah-langkah yang luar biasa.

Pembaharuan struktur itu termasuklah mengkaji sistem cukai dan kemungkinan melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tidak popular, katanya.

Maybank Investment Bank Research baru-baru ini berkata Kementerian Kewangan telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk mengkaji pelbagai langkah untuk melonjakkan pendapatan, termasuk kemungkinan memperkenalkansemula GST.

Dalam nota penyelidikan yang dikeluarkan pada Isnin susulan dialog dengan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz yang diadakan Jumaat lepas, ia memetik Tengku Zafrul sebagai berkata langkah-langkah lain termasuk menganalisis kelemahan regim cukai dan kesan percukaian baharu ke atas ekonomi.

Kementerian itu juga dikatakan sedang mengkaji pilihan untuk cukai-cukai baharu sepert cukai karbon dan cukai digital, merasionalisasikan insentif cukai, meningkatkan pentadbiran cukai dan audit cukai seperti memperkenalkan angka pengenalan dan menambahbaik analitik data.

“Langkah luar biasa seperti ini perlu dilakukan untuk keluar daripada kekacauan ekonomi dan politik pada masa ini,” kata Kamal.

Beliau berkata untuk mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi, Malaysia perlu ditadbir oleh kerajaan yang sangat stabil dan berwawasan.

“Ia memerlukan kerajaan yang sangat stabil dengan wawasan, kemampuan yang jelas dan akan melakukan perkara yang tidak popular, bukan yang biasa, bagi memerangi situasi COVID-19 pada masa ini,” kata beliau.

Kamal berkata beliau berharap kerajaan dapat terus memberi keutamaan kepada isu-isu berkaitan pengangguran, langkah-langkah untuk membantu pemulihan perniagaan serta memastikan pemulihan jangka panjang berjalan lancar.

Sementara itu, Pengerusi Pusat ASLI bagi Kajian Dasar Awam Tan Sri Ramon Navaratnam berkata walaupun Belanjawan 2021 telah melepasi peringkat dasar, dasar seperti Dasar Ekonomi Baharu (NEP) perlu diubahsuai bagi menarik lebih banyak pelaburan asing dan domestik.

Beliau menggesa agar sektor swasta memainkan peranan yang lebih penting semasa krisis COVID-19 ini.

“Sektor-sektor seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur boleh dibiayai oleh sektor swasta, sama seperti jalan bertol,” katanya.

-- BERNAMA

 




BERITA-BERITA LAIN

Kerajaan perlu tambah pendapatan selain melalui cukai Bajet 2022 - Pakar

KUALA LUMPUR, 11 Nov --  Inisiatif cukai Belanjawan 2022 mungkin tidak akan menyumbang secara signifikan kepada pendapatan kerajaan dan terdapat keperluan untuk mencari kaedah lain bagi meningkatkan hasil ekonomi negara, kata seorang pakar cukai.


Belanjawan 2021 adalah berdasarkan badan-badan yang ditentukan keabsahannya - MoF

KUALA LUMPUR, 16 Dis -- Pembentangan Belanjawan 2021 adalah berdasarkan apa yang dilaporkan oleh badan-badan yang boleh ditentukan keabsahan datanya, menurut Kementerian Kewangan.


EY: Isu ESG jadi perhatian utama agenda ketahanan, pemulihan, kemampanan ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Dis  -- Isu-isu alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang timbul akibat perubahan iklim menjadi perhatian utama dalam agenda ketahanan, pemulihan dan kemampanan ekonomi Malaysia, yang turut menjadi tumpuan dalam Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini, demikian menurut  Ernst & Young (EY) Advisory Services Sdn Bhd.


INTIPATI


EKSKLUSIF


LAPORAN EKONOMI

Malaysia perlu promosi pelaburan berkualiti untuk capai pembangunan mampan

KUALA LUMPUR, 29 Okt -- Malaysia perlu mempromosikan pelaburan berkualiti terutamanya bagi pelaburan berteknologi tinggi serta berintensifkan kemahiran dan pengetahuan bagi mencapai pembanguna...


Pasaran tunjuk reaksi neutral selepas Belanjawan 2021 peringkat dasar diluluskan

KUALA LUMPUR, 28 Nov -- Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) bernilai RM322.5 bilion peringkat dasar yang diluluskan oleh Parlimen pada Khamis, telah menerima re...


Belanjawan 2021, RCEP beri prospek baik kepada daya saing Malaysia tarik lebih banyak FDI

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 19 Nov -- Belanjawan 2021 Malaysia, belanjawan pengembangan yang menyasarkan untuk memulihkan ekonomi, dan dengan penyertaannya dalam ...



SIARAN LANGSUNG BNC


UCAPAN BELANJAWAN



© 2024 BERNAMA. Semua Hak Cipta Terpelihara. Penafian | Dasar Privasi | Dasar Keselamatan Dasar Keselamatan Bahan ini tidak boleh diulang terbit, ulang siar, tulis kembali atau diulang edar melainkan dengan kebenaran bertulis dari pihak BERNAMA.

Paparan terbaik menggunakan Firefox 58.0.1 (64-bit) & Chrome Version 63.0.3239.132 (Official Build) (64-bit) dalam resolusi 1920 x 1080 piksel